Tuesday, January 25, 2011

2 SIFAT SASTERA SEJARAH DALAM SULALATUS SALATIN


1. Tujuan Penulisan:

  • Untuk kegunaan kelompok istana seperti raja dan bangsawan.
  • Merakamkan kebesaran negara kota Melaka 
  • Menggambarkan ketinggian martabat kerajaan Melaka
  • Mengagungkan kegemilangan pemerintahan kerajaan Melaka

2. Corak Penceritaan:
  • Mengandungi dua corak peristiwa iaitu peristiwa sebenar/fakta sejarah, dan peristiwa fantasi, dongeng, mitos/bukan fakta sejarah.
  • Kisah bercampur aduk antara fakta sejarah dan bukan sejarah.
  • Sifat sastera dilihat dari segi penggunaan bahasa dan teknik penulisan yang memasukkan unsur puisi seperti syair dan pantun.
  • Selain itu sifat sastera dapat dilihat dengan adanya penggunaan dialog-dialog.

3. Kisah Negara Kota Melaka

Menitikberatkan peristiwa-peristiwa yang mengagungkan keturunan raja dengan mengaitkan dengan unsur ajaib.
  • Keturunan raja dikaitkan berasal dari keturunan raja agung dan hebat iaitu keturunan Iskandar Zulkarnain, Raja dari Mukaduniah yang terkenal hebat, berani dan mempunyai sifat kepahlawanan.
  • Gambaran pemerintahan penuh kebaikan seperti adil, gagah, perkasa, berani dan berdaulat.  Contohnya kemakmuran Melaka dikaitkan dengan peribadi baik sultan pemerintah seperti Sultan Mansur Syah dan Sultan Alau'dDin Riayat Syah.
Menonjolkan kebesaran raja Melaka melalui
  • gambaran adat-istiadat dan larangan- larangan seperti mementingkan protokol dan adat-istiadat seperti adat mengadap raja, adat mengarak sejadah, adat pertabalan dan sebagainya.
  • larangan memakai kain berwarna kuning, larangan memakai emas, keris tertentu dan sebagainya. 
  • Larangan bertujuan bertujuan mengekalkan status quo, kehebatan dan keistimewaan raja.

Membanggakan  kejayaan Melaka mengatasi negara lain seperti dalam hubungan Melaka dengan China,  Melaka- Pasai dan lain-Iain .

4. Dari Segi Pertarikhan:
  • Sulalatus Salatin tidak mementingkan catatan tarikh berlaku peristiwa-peristiwa terutama peristiwa sejarah sebenar.Pertabalan raja, kelahiran, kemangkatan, hubungan diplomatik tidak disertai tarikh. Jika ada tarikh pun, tidak bertepatan dengan kenyataan sejarah sebenar.
  • Peristiwa sejarah diceritakan seperti laporan. 
  • Pengisahan berpusat kepada satu keturunan dan tumpuan diberikan kepada keturunan raja Melaka.
  • Sultan Muhammad Syah diwariskan kepada keturunannya dari sebelah 'ayah' iaitu Sultan Muzaffar Syah,Sultan Mansur Syah, Sultan Alau'd-Din Riayat Syah, dan Sultan Mahmud Syah.
5. Gaya Penceritaan:
  • Mementingkan gambaran kebesaran dan kemasyhuran raja memerintah.
  • Menyanjung kedaulatan dan kekuatan sesebuah negara-kota dengan cerita dikaitkan dengan kisah-kisah ajaib,dongeng, mitos, legenda dan fantasi.
  • Mengagungkan negara-kota dan kehebatan  pemerintahan raja-raja dan ketokohan pembesar negeri.
  • Memasukkan kisah yang benar-benar berlaku (fakta sejarah sebenar) misalnya sejarah tentang kewujudan empayar Melaka dan rantau jajahan takluknya, hubungan diplomatik Melaka dengan Siam, China,dan Pasai. 
  • Menceritakan tentang kedatangan Islam ke Melaka dan Pasai

6 Watak-watak yang terdapat dalam Sulalatus Salatin terdiri dari watak-watak dari kalangan
  • Manusia seperti golongan istana (raja dan kerabat) pembesar-pembesar negeri, bangsawan, rakyat jelata, hamba, golongan Arab, India-Muslim dan lain- lain.
  • Watak bukan manusia seperti seperti lembu putih, semut besar, pelanduk putih, anjing perburuan, cacing gelang-gelang; orang-orang halus seperti hantu,dan Puteri Gunung Ledang.

7  Struktur isi cerita Sulalatus Salatin menepati ciri-ciri yang biasa ditemui dalam karya corak sastera sejarah yang terbahagi kepada 3 bahagian iaitu bahagian awal yang meliputi pengasasan negeri, bahagian kedua yang berkaitan dengan kegemilangan danian ketiga yang meliputi bahagian kemerosotan negeri.

Bahagian awal mengisahkan peristiwa penubuhan kerajaan negara kota yang meliputi
  • asal-usul keturunan raja- raja
  • kisah pembukaan negara kota
  • kemasukan Islam
Peristiwa-peristiwa tersebut dikaitkan dengan  mitos, legenda, dongeng dan fantasi. Asal usul raja Melaka dikaitkan dari keturunan iskandar Zul-Karnain. Pembukaan Melaka dikaitkan dengan kejadian aneh iaitu anjing perburuan ditendang oleh pelanduk putih yang berani dan kemudian ghaib. Kemasukan Islam dikaitkan dengan mitos Raja Kecil Besar bermimpi bertemu Rasulullah.

Bahagian Kegemilangan: meliputi
  • Kisah pemerintahan raja-raja pemerintah negara kota.
  •  Menonjolkan kebesaran, kejayaan, kehebatan pemerintahan.
  • Peranan negara kota dari segi politik, kebudayaan,perdagangan, pusat penyebaran Islam dan lain-lain.
Sulalatus Salatin merakam kegemilangan pemerintahan Sultan-Sultan Melaka dicapai sewaktu pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah dan Sultan Alau'd-Din Riayat Syah. Melaka muncul sebagai empayar Melayu terkuat, luas jajahan takluk meliputi Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Sulalatus Salatin menggambarkan juga peranan Melaka sebagai pusat pelabuhan terbesar di rantau ini. termasuk peranan Melaka sebagai pusat penyebaran dan pengembangan agama Islam serta Melaka sebagai pusat pengumpulan khazanah hasil-hasil kesusasteraan Islam terpenting.

Bahagian Kemerosotan: meliputi kisah-kisah

  • kekejaman dan kezaliman raja yangmemerintah.
  • Berlaku perpecahan di kalangan pembesar.
  • Fitnah, amalan rasuah, pilih kasih,ketidakadilan dan sebagainya berleluasa dalam kalangan rakyat dan pemerintah.
  • Kerajaan lemah senang ditakluki musuh.

Sulalatus Salatin menceritakan kekejaman dan kezaliman Sultan Mahmud Syah yang menggguna kuasa dan kedudukannya untuk kepentingan diri, dan kepuasan seks. Sultan Mahmud Syah mengabaikan rakyat, melakukan ketidakadilan, terkait dengan amalan rasuah dan pilih kasih.

Digambarkan juga pada bahagian kemerosotan ini pentadbiran menjadi lemah dan kucar-kacir, serta pertahanan negara kota yang lemah.Portugis menyerang dengan mudah dapat mengalahkan dan menawan Melaka.

UNSUR SASTERA DALAM SULALATUS SALATIN



Sastera bermaksud hasil seni sama ada berbentuk prosa mahupun puisi. Oleh itu, segala bentuk karangan sama ada hikayat, puisi, buku, serta risalah yang dianggap fenomena sastera dapat dikatakan sebagai hasil-hasil kesusasteraan. Antara unsur-unsur sastera yang terkandung dalam karya ini ialah:

Contoh pertama yang jelas dilihat adalah mengenai pengarang dan tarikh penulisan teks Sulalatus Salatin itu sendiri. Sulalatus Salatin adalah karya yang ditulis oleh Tun Muhammad atau nama timang-timangannya Tun Sri Lanang dan bergelar Bendahara Paduka Raja.
Mukadimah yang terdapat pada halaman dua dan tiga antara lain mencatatkan:

"Bahawa beta minta diperbuatkan hikayat pada Bendahara peri persetua dan peri petuturan raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali; supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkannya oleh mereka itu; syahadan beroleh faedahlah ia daripadanya."
(Halaman: 3)

Tarikh Sulalatus Salatin ditulis adalah pada 'seribu dua puluh satu tahun, kepada tahun Dal, pada dua belas hari bulan Rabiulawal, kepada hari Khamis, waktu 'alduha..., Tarikh itu bersamaan 13 Mei 1612.

Perkara lain yang memperlihatkan adanya sifat sastera dalam teks Sulalatus Salatin adalah dari segi gaya bahasa dan teknik penulisannya. Contoh yang jelas dalam teks ini ialah penggunaan bahasa berirama sama ada pantun mahupun syair. Salah satu syair yang terdapat dalam teks ini ialah:

Cau Panden anak Bubunnya,
Hendak menyerang ke Melaka;
Ada cincin berisi bunga,
Bunga berladung air mata.
(Halaman: 96)

Unsur-unsur puisi ini adalah untuk menggambarkan sesuatu peristiwa. Selain itu dapat  mengindahkan bahasa supaya kelihatan lebih seni dan menarik.

Teknik penceritaan Sulalatus Salatin memperlihatkan adanya unsur sastera kerana terdapatnya penyelitan dialog oleh pengarang. Dialog dan aksi-aksi antara seseorang watak dengan watak yang lain adalah ciri-ciri sastera menyimpang daripada tulisan-tulisan atau buku-buku sejarah yang lebih mengutamakan fakta atau penulisan secara langsung. Contohnya dialog antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana:

Maka sembah Demang Lebar Daun, "Daulat tuanku, mengapa tuanku berlindung titah lagi? Kerana sembah patik ke bawah duli Yang Maha Mulia telah putus, tiada hamba Melayu itu dapat menyalahi kehendak tuannya." Maka titah baginda, "Adalah hamba mendengar khabar paman konon ada menaruh seorang anak perempuan, amat baik parasnya, Jikalau dengan ikhlas paman, initah yang hamba pohonkan".
                                                                  (Halaman: 25)

Unsur mitos yang terdapat dalam Sulalatus Salatin merupakan satu ciri sastera kerana unsur ini mempunyai tujuan tertentu, seperti mengangkat martabat raja, bangsa, dan sebagainya. Mitos Raja Suran turun ke laut memperlihatkan bagaimana golongan raja mampu melakukan sesuatu perkara yang sukar dilakukan oleh rakyat.

Peristiwa kedatangan Islam ke Melaka juga dianggap sebagai satu mitos. Raja Kecil Besar berpandangan dengan Rasulullah yang menunjukkan kejadian-kejadian dan pewarnaan sifat raja yang luar biasa.
Raja China misalnya, mendapat kedal kerana menerima sembah daripada Sultan Mansur Syah.dan dan hanya dapat diatasi dengan air basuh kaki Sultan Mansur Syah sendiri.

Sifat-sifat sastera dalam Sulalatus Salatin juga jelas dikesan melalui pembukaan-pembukaan negeri atau tempat tertentu yang berunsur mitos. Melaka mendapat nama berdasarkan peristiwa pelanduk putih menendang anjing perburuan Raja Iskandar Syah, dan peristiwa itu dilihat dari bawah pokok Melaka. Singapura mendapat mendapat berdasarkan seekor singa yang dilihat oleh Sang Nila Utama; dan kerana binatang itu kelihatan tangkas,
Dipercayai bahawa negeri yang dibuka akan maju dan kuat. Oleh itu, peristiwa-peristiwa aneh berhubung kait dengan kepercayaan sehingga munculnya sesebuah negeri dalam Sulalatus Salatin.
 
Unsur epik atau kepahlawanan dalam Sulalatus Salatin merupakan satu penonjolan sifat sastera yang amat ketara. Melebih-lebihkan taat setia watak serta kekuatan yang luar biasa adalah sebagai usaha menarik minat pembaca mendekati teks sastera.

Tuan Saidi Arab umpamanya, berjaya membunuh Cau Panden dengan memanah dari Melaka dan Cau Panden mati di Siam. Tun Omar, Seri Bija Diraja, Tun Bija Sura, Tuan Jana Khatib, dan beberapa watak lagi masing-masing memperlihatkan legenda. Tuan Jana Khatib umpamanya, berjaya membelah batang pinang hanya melaui tilikannya.

Sifat sastera lain yang terdapat dalam teks Sulalatus Salatin ialah plot. Plot ialah susunan atau jalinan peristiwa yang ada kaitan dengan hukum, sebab, dan akibat. Plot adalah ciri penting bagi penulisan hasil-hasi sastera berbentuk prosa sama ada cerpen, novel, mahupun hikayat-hikayat.

Penceritaan tentang negeri-negeri Singapura dan Melaka dalam Sulalatus Salatin adalah berdasarkan pembinaan plot yang kompleks. Dijelaskan tentang bahagian awal cerita, iaitu tentang pembukaan-pembukaan; bahagia-perkembangan plot diceritakan tentang perkembangan kerajaan-kerajaan berkenaan manakala, bahagian akhir plot dijelaskan tentang kejatuhan negeri.

Pemaparan tentang sastera undang-undang merupakan sifat-sifat sastera yang terkandung dalam Sulalatus Salatin. Dalam Sulalatus Salatin terutamanya semasa pemerintahan Raja Kecil Besar atau Sultan Muhammad Syah. terdapat larangan-larangan yang bukan hanya perlu dipatuhi oleh rakyat tetapi juga oleh goiongan pembesar-pembesar negeri. Hal-hal yang berkaitan dengan pantang larang dan peraturan ini terkandung dalam Hukum Kanun Melaka.


UNSUR SEJARAH DALAM SULALATUS SALATIN 

Sulalatus Salatin banyak mencatatkan peristiwa-peristiwa yang benar-benar berlaku dan diketahui oleh masyarakat umum cuma agak kabur kerana adanya unsur-unsur sastera di samping tiada catatan tarikh bagi setiap peristiwa sejarah yang dikemukakan. Tokoh-tokoh yang dipaparkan dalam Sulalatus Salatin merupakan tokoh-tokoh Melayu Melaka yang memperlihatkan keunggulan pemerintahan seperti Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, dan Sultan Alau'd-din Riayat Syah Turut digambarkan ialah pembesar-pembesar Melaka seperti Tun Ali dan Tun Perak dan Tun Mutahir.



Sifat sejarah dalam Sulalatus Salatin juga dapat dikesan melalui peristiwa-peristiwa yang tercatat di dalamnya. Peristiwa seperti pembukaan Melaka dan Singapura, kejatuhan Melaka, penyebaran Islam di Melaka, hubungan diplomatik Melaka dengan kuasa-kuasa lain adalah catatan sejarah yang jelas.

Kelompok masyarakat yang didedahkan dalam Sulalatus Salatin memperlihatkan satu kelompok yang tertulis di dalam sejarah. Golongan yang diceritakan ialah golongan raja, pembesar, rakyat dan hamba abdi.

Melaka yang terkenal sebagai pusat perdagangan merupakan sifat sejarah yang dapat ditinjau melalui karya Sulalatus Salatin. Ekonomi Melaka begitu kukuh kerana Melaka menjadi tumpuan pedagang dan saudagar-saudagar dari Arab, benua Keling, dan China. Antara saudagar-saudagar yang disebutkan dalam Sulalatus Salatin termasuklah Raja Mendaliar, Ali Manu Nayan, dan Nina Sura Dewana.
Dalam aspek politik, jelas bahawa sejarah telah menunjukkan Melaka suatu ketika dahulu merupakan kuasa besar dan berpengaruh. Dari segi penaklukan dan hubungan diplomatik, Melaka dianggap sebagai kuasa yang berjaya menewaskan negeri-negeri tertentu dengan mudah.  Melaka menjalin hubungan dengan kuasa-kuasa besar seperti China, Majapahit, Pasai, Haru, dan Siam.

Kedatangan agama Islam di alam Melayu seperti yang diperkatakan dalam Sulalatus Salatin merupakan satu sifat sejarah. Walaupun dalam Sulalatus Salatin tidak disebut tarikh-tarikh penerimaan Islam di Pasai dan Melaka tetapi pada hakikatnya kedatangan Islam ke tempat-tempat berkenaan adalah fakta yang tidak boleh ditolak. Kedatangan Islam telah melahirkan tokoh-tokoh agama seperti Kadi Menawar, Kadi Maulana Abu Bakar, dan beberapa lagi manakala, Sultan Alau'd-Din pula mengenakan undang-undang Islam dalam pemerintahan baginda di Melaka.

Kedatangan Portugis atau Benggali Putih dalam Sulalatus Salatin juga merupakan peristiwa sejarah sebenar. Pada saat kemerosotan Melaka, pentadbiran menjadi lemah dan kucar-kacir,danlemah. Apabila Portugis menyerang dengan mudah dapat mengalahkan dan menawan Melaka.