Tuesday, January 25, 2011

1.2 KEPENGARANGAN SULALATUS SALATIN

KEPENGARANGAN

Nama asal Sulalatus Salatin ialah Hikayat Melayu. Sulalatus Salatin juga dikenalai sebagai Sejarah Melayu. Naskhah Hikayat Melayu dibawa ke Johor dari Goa. Dipercayai penulisan Hikayat Melayu berakhir pada sebelum tahun 1536 Masihi. Setelah dibawa ke Johor, naskhah ini disusun semula pada tahun 1612 oleh Tun Muhammad, Bendahara Johor seawktu pemerintahan Sultan Ala'ud-Din Riayat Syah III yang memerintahan di Pekan Tua, Batu Sawar, Johor. Nama timang-timangan Tun Muhammad ialah Tun Seri Lanang.

Berdasarkan isi kandungan Sulalatus Salatin,menampakkan pengarangnya sebagai seorang intelek Melayu yang berminat kepada sejarah dan suasana pergolakan politik di Melaka waktu itu. Selain itu pengarang amat berminatt membaca naskhah sastera dan sejarah tertua seperti Hikayat Iskandar Zul- karnain, dan Hikayat Raja-Raja Pasai.Selain itu pengarang Sulalatus Salatin turut berminat membaca berbagai-bagai hikayat daripada kesusasteraan asing yang diterap dari kesusasteraan Hindu. Sebagai contoh pengarang dapat menggarap secara terperinci unsur-unsur sastera Hindu ketika mengisahkan pengembaraan  Raja Suran ke negeri bawah laut dankisah di Bukit Si Guntang Mahamiru. Pengarang juga turut mengaitkan binatang Suci Hindu iaitu lembu putih.

Pengarang turut terpengaruh dengan  kesusasteraan Jawa seperti cerita Panji dan Cerita Damar Wulan. Contoh-contoh dari hasil sastera Jawa dapat dilihat melalui gambaran peristiwa utusan Melaka pergi ke Majapahit seterusnya peristiwa peminangan Puteri Galuh Cendera Kirana. Dalam peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang, dikaitkan pula dengan permintaan mas kahwin yang luar biasa.

Pengarang begitu mahir menggarap corak penulisan kesusasteraan Parsi dan Arab. Hal ini jelas dilihat dari sudut pendahuluan teksyang ada gaya masnawi. Terdapat juga pembahagian bab-bab pada cetera yang disampaikan. Selain itu dimasukkan petikan syair dan bidalan Arab juga termasuklah menyelitkan ayat-ayat al-Quran. Jika dikaji lebih mendalam terdapat juga struktur penulisany ang mirip gaya khutbah, di samping
penggunaan kalimah-kalimah Arab yang ketara.

Pengarang Sulalatus Salatin merupakan seorang yang kreatif dan artistik kerana dapat menampilkan teks tersebut dalam bentuk yang sangat menarik dan indah dari segi persembahannya. Pengarang berupaya melukis segala kisah atau gambaran masyarakat Melayu dengan hidup dan indah. Beliau juga dapat  menceritakan sesuatu episod dengan nyata dan jelas sehingga berjaya mengusik perasaan  sama ada sedih,
menyayat hati, lucu, meriah dan riang gembira. Contohnya peristiwa peperangan digambarkan dengan penuh suasana ngeri dan ganas.

Perasaan marah yang tidak terkawal dapat dibayangkan dengan kata-kata yang diucapkan, contohnya:

"Dipertidaknya lelaki kita oleh Betara Majapahit itu, kita dikirimNya subang."

Pengarang juga berjaya memberikan pembaca gambaran yang berkesan dalam menceritakan kebesaran kerajaan China. Kebolehan pengarang seterusnya ialah berkebolehan menceritakan sesuatu peristiwa dengan penghayatan mendalam, contohnya menggambarkan  peristiwa tragedi pembunuhan Tun Besar dan  tragedi pembunuhan Bendahara Seri Maharaja

Pengarang turut berupaya melukis watak dengan lebih hidup, istimewa dan bercampur dengan unsur lucu. Contohnya ketika menggambarkan watak Tun Mai Ulat Bulu, Seri Bija Diraja, Seri Wak Raja, MiaRuzul dengan kambing randuk dan lain-lain.Selain itu pengarang berjaya menerapkan gaya bahasa indah, menarik dan bermutu tinggi, di samping  menggunakan pelbagai teknik bercerita seperti teknik dialog, monolog dan monolog dalaman, menyelitkan pantun, syair dan bidalan Arab yang menimbulkan kesan keindahan dan menarik ketika membaca teks tersebut.