Tuesday, January 25, 2011

3 ASPEK KETATANEGARAAN

ASPEK KETATANEGARAAN

Takrif ketatanegaraan

Ketatanegaraan berasal dan perkataan tatanegara yang bermaksud, "aturan dan susunan negara." (Zainul Abidin Safuwan, Kamus Bahasa Melayu Utusan, Utusan Pub. Dist. hlm 1383)

Manakala Kamus Dewan memberi makna tatanegara itu sebagai "susunan dan bentuk pemerintahan negara dan ketatanegaraan pula bermakna, hal yang berkaitan dengan tatanegara seperti politik dan lain-Iain lagi. "( Kamus Dewan, DBP, hlm 1383)


KONSEP RAJA

Raja merupakan orang dan institusi terpenting dalam sebuah pemerintahan. Raja orang yang sangat, mulia dan mempunyai berbagai-bagai kelebihan. Pengarang Sulalatus Salatin meletakkan raja setaraf dengan nabi dan sebagai pengganti Allah di muka bumi (wasiat Bendahara Paduka Raja Tun Perak)

Raja berkuasa mutlak dan menjadi penghubung antara rakyat dengan roh nenek moyang.

Konsep raja berkait rapat dengan keagamaan. Ini bertujuan memperkuatkan kepercayaan rakyat terhadap kebesaran dan kemuliaan raja. Sulalatus Salatin mengaitkan keturunan raja dengan Iskandar Zulkarnain , keturunan raja yang agung dalam sejarah dunia.

Raja mempunyai sifat mulia dan luar biasa yang dikaitkan dengan cerita mitos, misalnya keturunan Raja Suran di Bukit Si Guntang.
Raja memiliki "daulat". Kebolehan luar biasa dikaitkan dengan daulat, contoh daulat raja-raja Melayu dalam Sulalatus Salatin, misalnya;Seri Teri Buana boleh menawarkan air masin.

Raja China pula mendapat penyakit kedal setelah menerima surat sembah raja Sultan Mansur Syah Melaka. Penyakit itu hanya boleh diubati dengan cara Raja China mesti minum air basuh kaki raja Melaka.

Sang Rajuna Tapa yang belot kepada Raja Singapura mendapat tulah iaitu suami isteri menjadi batu.


KONSEP DAULAT DAN DERHAKA

Konsep ini berkait rapat dengan unsur keagamaan dan kepercayaan rakyat meyakini sesiapa derhaka kepada raja akan mendapat balasan di akhirat.

Kewujudan konsep 'daulat dan derhaka' terhasil daripada waadat antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Peristiwa waadat ialah manifestasi pengakuan rakyat akan kedaulatan raja dan rakyat tidak boleh derhaka kepada raja walau dalam apa keadaan sekalipun. Contohnya  Bendahara Paduka Raja Tun Perak tidak membenarkan anak buahnya bertindak balas ke atas Raja Muhammad walaupun anaknya (Tun Besar) dibunuh. Bendahara Seri Maharaja pula tidak menentang hukuman bunuh yang dititahkan Sultan Mahmud Syah walaupun beliau tidak bersalah. Bendahara lebih rela dibunuh daripada menderhaka kepada rajanya.

Kedudukan raja diperkukuhkan lagi dengan alat- alat kebesaran dan peraturan-peraturan, larangan-larangan yang dikenakan dalam hubungan raja-rakyat.

KONSEP KERAJAAN

Konsep kerajaan dalam konteks Melayu merujuk kepada "satu organisasi besar yang dipimpin oleh, raja dan pembesar-pembesar dalam menjalankan pemerintahan ke atas golongan rakyat bagi sesebuah negeri dan jajahan takluknya." (Harun Daud, hlm. 95)

Kewujudan kerajaan disahkan lagi dengan adanya alat kebesaran kerajaan sebagai bukti kuasa raja yang memerintah.Ketiga-tiga putera Raja Suran yang turun di Bukit Si Guntang Mahamiru turut membawa bersama alat kebesaran kerajaan seperti mahkota, pedang, curik dan lembing serta cap kempa.Setiap kerajaan Melayu memiliki alat-alat kebesaran diraja yang tersendiri.

KONSEP NEGERI

Konsep negeri bagi Melaka ialah "bukan sahaja terdiri dari Melaka. malah semua negeri atau jajahan takluknya." (Harun Daud. hlm 97)

Hubungan antara raja dan rakyat terjamin melalui undang-undang dan larangan. Fungsi undang- undang dan larangan untuk keamanan dan mengekalkan taat setia rakyat kepada pemerintah.Raja memerlukan negeri untuk membentuk kerajaan. Tempat-tempat yang dibuka dijadikan negeri biasanya tempat yang strategik dan mempunyai keistimewaan yang tertentu. Pembukaan sesebuah negeri dikaitkan dengan unsur mitos untuk menunjukkan bahawa tempat yang dibuka itu membawa "tuah" atau kelebihan yang tersendiri.


SISTEM PEMERINTAHAN

Masyarakat Melayu tradisional khasnya Melaka mengamalkan sistem pemerintahan beraja secara mutlak. Yang dimaksudkan secara mutlak ini ialah raja berkuasa sepenuhnya. Raja menduduki strata paling tinggi dan mempunyai kuasa autoriti, kuasa penuh ke atas rakyat dan berkuasa penuh dalam urusan kerajaan.

Raja merupakan golongan yang merintah dan rakyat merupakan golongan yang diperintah. Persetujuan ini hasil dari waadat antara Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun.

Kedudukan raja tidak boleh diganggu gugat. Raja boleh berbuat apa sahaja dan tidak boleh dibantah, misalnya dalam menjatuhkan hukuman mati.

Pengganti raja ditentukan oleh raja pemerintah. Bianya mengikut keturunan sebelah ayah. Selain itu raja ditentukan pelantikannya melalui wasiat, misalnya perlantikan Sultan Mahmud Syah sebagai ganti memerintah dari wasiat ayahandanya Sultan Alau'd-Din Riayat Syah.

Pemerintahan negeri dibantu oleh pembesar- pembesar negeri melaksanakan perintah raja.Hubungan raja dan pembesar sangat erat dan kadang-kadang wujud pertalian darah misalnya puteri Bendahara dikahwini oleh sultan. Pembesar memainkan peranan utama dalam kerajaan Melayu Melaka seperti Bendahara, Temenggung, Penghulu Bendahari dan Syahbandar. Pembesar negeri dilantik oleh raja. Tugas dan kedudukan pembesar mengikut bidang tugas masing-masing;


KECEMERLANGAN DAN KEMALAPAN KUASA POLITIK

Kuasa politik Melaka melalui empat tahap perkembangan. Tahap pertama meliputi tahap pembukaan Melaka semasa pemerintahan Raja Iskandar Syah, Raja Besar Muda dan Raja Tengah .

Pada tahap kedua ianya meliputi maman pengukuhan kerajaan Melaka yang berlangsung pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah dan Sultan Abu Syahid. Manakala  tahap ketiga iaitu zaman kegemilangan Melaka yang berlangsung pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah dan Sultan Alau'd-Din Riayat Syah.


Tahap empat merupakan zaman kejatuhan Melaka yang berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah.

Pembukaan Melaka

Sulalatus Salatin menceritakan Melaka dibuka oleh Raja Iskandar Syah yang lari dari Singapura. Pembukaan Melaka dikaitkan dengan mitos Raja Iskandar Syah melihat kejadian aneh iaitu seekor pelanduk putih menendang anjing perburuan jatuh ke sungai. Ketika kejadian Raja Iskandar Syah menyandar di bawah sepohon pokok bernama Melaka. Melaka mula bertapak sebagai kuasa politik yang kuat dan disegani yang dilihat pada kejayaan Melaka mengatasi ancaman daripada Siam.

Tahap Kegemilangan

Puncak kegemilangandan kejayaan Melaka dicapai pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah dan Sultan Alau'd-Din Riayat Syah. Melaka berperanan sebagai empayar Melayu yang kuat dan besar. Melaka muncul sebagai pusat perdagangan, pusat persinggahan timur dan barat dan pusat pengembangan Islam dan hasil-hasil kesusasteraan Melayu dan Islam di kepulauan Melayu.

Kegemilangan Melaka dikaitkan dengan kewibawaan pembesar-pembesar negeri yang berjaya mentadbir Melaka dengan penuh kebijaksanaan. Ketika ini Melaka melaksanakan dasar perluasan tanah jajahan dan berjaya menakluki Pahang. Keturunan raja Melaka memerintah Pahang misalnya Raja Muhammad. Melaka juga menakluki Inderagiri, Jambi, Siantan, Kampar dan Siak, Haru, Manjong dan Beruas, Kelantan dan Terengganu.

Tahap Kejatuhan

Kerajaan Melayu Melaka mulai mengalami zaman kejatuhan pada masa pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Faktor kejatuhan Melaka berkait rapat dengan corak pemerintahan baginda yang lemah.Sultan Mahmud mementingkan hawa nafsu lebih daripada kepentingan negara dan rakyat. Sultan Mahmud Syah dianggap gila perempuan.

Sultan Mahmud juga bersifat kejam dan gemar menjatuhkan hukuman bunuh tanpa usul periksa. Baginda telah membunuh Tun Ali Sandang kerana menghalang hajatnya pada Tun Dewi dan membunuh Bendahara Seri Maharaja kerana Bendahara tidak menunjukkan Tun Fatimah kepada baginda.

Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud, amalan rasuah berluasa di kalangan pembesar negeri. Misalnya pengikut- pengikut Tun Hassan Temenggung terima rasuah daripada pekedai-pekedai. Saudagar-saudagar memberi persembahan harta benda kepada pembesar untuk tujuan- tujuan tertentu. Selain itu amalan fitnah memfitnah, hasad dengki dan dendam berluasa. Semuanya berpunca kerana meletakkan kepentingan diri mengatasi kepentingan kerajaan dan negeri.

Akhirnya kejatuhan Melaka dimuktamadkan dengan serangan dan penaklukan oleh Portugis  yang dipimpin oleh Alfonso de Albuquuerque.