Penceritaan mengenai kemasukan Islam ke Pasai dan Melaka telah dimitoskan dengan tujuan untuk mengagungkan Islam dan menunjukkan keistimewaan raja itu sendiri. Penceritaannya memberi gambaran bahawa Islam benar-benar berkembang di Melaka, bermula dari istana Melaka dan terus berkembang di kalangan rakyat jelata. Raja Melaka pertama beragama Islam ialah Raja Kecil Besar atau Sultan Muhammad Syah. Gelaran Sultan diguna pakai setelah Raja Melaka memeluk Islam.
Unsur Islam juga dapat dilihat daripada penyebutan dan penonjolkan tokoh-tokoh dan lama-ulama Islam.
Antaranya Iskandar Zul-Karnian, yang merupakan tokoh pahlawan Islam yang terkenal gagah dan berani dalam menaikkan martabat Islam di dunia. Tokoh ini dikaitkan dengan asal usul keturunan raja Melaka yang bertujuan untuk menunjukkan keagungan raja-raja Melaka.
Tokoh-tokoh lain yang disebut seperti tokoh pahlawan Islam yang terkenal Amir Hamzah, tokoh-tokoh nabi seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Khidir. Sulalatus Salatin menceritakan pernikahan Raja Iskandar Zul-Karnain dengan Puteri Syahrul-Bariyah disempurnakan oleh Nabi Khidir. Mas kahwinnya sebanyak 300 ribu dinar emas (Cetera 1).
Tokoh-tokoh pendakwah Islam, iaitu ulama-ulama Islam dari Asia Barat (TimurTengah) datang ke Melaka bertujuan mengembangkan agama Islam dan mengajar ilmu Islam berpusat di istana Melaka. Tokoh-tokoh tersebut seperti Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Kadi Yusuf, dan Maulana Sadar Jahan.Tokoh-tokoh ini diberi penghormatan dan pengiktirafan tinggi di istana Melaka. Mereka sangat berpengaruh terutama dalam soal-soal berkaitan dengan hal-ehwal keagamaan.
Unsur Islam dalam Sulalatus Salatin juga terlihat dalam perjalanan adat-lstiadat dan perundangan yang diamalkan kerajaan Melaka. la meliputi hal-hal seperti upacara akad nikah kahwin, dan perayaan-perayaan hari kebesaran Islam seperti menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raja Korban. Selain gambaran Islam juga dapat dilihat melalui adat berkhatan.
Menjadi suatu amalan kepada raja-raja Melaka yang mangkat meninggalkan wasiat kepada pembesar negeri dan putera mahkota. Misalnya wasiat kepada Raja Ahmad (timang-timangan Raja Hussain) (Sulalatus Salatin, hlm. 171-172) dan wasia`t Sultan Alau'd-Din Riayat Syah kepada Sultan Mahmud (Raja Mamad) (Sulalatus Salatin, hlm.186-187). Melalui wasiat, banyak didapati unsur pengajaran dan nasihat yang bersumberkan al-Quran dan hadis.
Unsur Islalm dalam Sulalatus Salatin juga ketara melalui penyebutan tentang kewujudan karya-karya Kesusasteraan Islam di Melaka contohnya Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikyat Amir Hamzah. Hikayat-hikayat ini dibaca oleh panglima-panglima Melaka untuk menaikkan semangat keperwiraan menentang musuh seperti Peringgi. (Sulalatus Salatin, hlm. 268-269)
Penceritaan dalam Sulalatus Salatin diselitkan dengan puisi Arab iaitu syair. Pengggunaan puisi atau bidalan Arab ini dalam menjelaskan sesuatu gambaran berkesan memberi nilai estetika pada teks tersebut. Lebih jelas menunjukkan keupayaan orang-orang Melaka menguasai seni sastera ini dalam penulisan karya agung itu. Perkara ini jelas dipaparkan dalam peristiwa Sultan Mahmud yang melihat kecantikan Tun Fatimah. Sulalatus Salatin menceritakan hal tersebut melalui syair Arab;
Ma yarji'u al-taffu 'ainnahu 'inda ru'yatihi, Hatta yu' ada i-laiya al-taffa musytaqu,
yakni tiada akan berkelip kelopak mata tatkala melihat dia, hingga berkelip kepadanya kelopak mata, makin bertambah dendam juga, adanya. (Sulalatus Salatin, hlm 251 )
Sulalatus Salatin juga menyentuh tentang corak pendidikan dan perkembangan ilmu keislaman. Istana igambarkan sebagai pusat pengajian ilmu-ilmu Islam. Pasai dikatakan menjadi sebagai pusat bermuzakarah mengenai ilmu fiqah mengikut mazhab Shafie. Istana dijadikan pusat pengajaran Islam dengan sultan dan pembesar turut belajar dan menuntut ilmu.
Ulama-ulama, guru-guru agama dan pendakwah berkumpul di istana. Contohnya, Maulana Sadar Jahan dari Jeddah mengajar di Melaka. Maulana Yusuf mengajar tasawuf. Sultan Mahmud turut belajar ilmu agama.
Kitab-kitab agama seperti Kitab Duri'l-Mazlum dibawa ke Melaka oleh Maulana Abu Bakar dan diajar di istana Melaka. Sultan Mansur Syah turut belajar kitab ini. Diceritakan juga tentang utusan dari Melaka ke Pasai untuk menyelesaikan masalah-masalah berkait ilmu Islam kerana di Pasai ramai ulama-ulama berkumpul bermuzakarah tentang ilmu-ilmu keislaman.
Unsur Islam dalam Sulalatus Salatin juga tergambar melalui teknik penulisannya. Mukadimah Sulalatus Salatin dimulai dengan Bismillahir-rahmanir-rahim...
Dalam mukadimah disertakan ayat-ayat al-Quran dan diikuti pula dengan terjemahan dalam bahasa Melayu. Struktur penulisan seperti ini adalah teknik yang biasa dalam karya-karya Arab-Parsi. Pada tiap-tiap akhir cetera, pengarang menutupnya dengan ayat "Wa'llahu a'lamu bi's-sawab, wa illaihi 'Imarji'u wa 'l-ma'ab." .Hanya pada akhir cetera ke XV sahaja diakhiri dengan ayat " Wa'llahu a'lam."
Terdapat juga struktur penulisan menggunakan gaya khutbah. Ini jelas ketika memberi nasihat yang meleret-leret dalam wasiat. Selain itu kalimat-kalimat Arab-Parsi digunakan dalam ayat antaranya Syahbandar, alam, bahari, sahibul hikayat dan Iain-Iain.