Wednesday, February 9, 2011

5.0 KEMEGAHAN DAN KEHEBATAN MELAKA


Dalam Sulalatus Sulalatus Salatin kebesaran raja yang memerintah digambarkan melalui perkaitan keturunan raja dengan legenda Iskandar Zul-karnain. Unsur mitos juga dimasukkan bagi mengesahkan dan mengukuhkan martabat raja-raja Malayu.

Pembukaan negeri Melaka turut dikaitkan dengan mitos dan peristiwa luar biasa. Umpamanya kegagahan pelanduk yang menentang anjing perburuan. Kehebatan Melaka juga tergambar melalui mitos kemasukan Islam.

Kehebatan Melaka juga digambarkan melalui adat-istiadat raja-raja Melaka serta langan-larangan terhadap rakyat..

Turut digambarkan ialah keluasan empayar dan jajahan takluk yang luas meliputi Pahang, Terengganu, Siak dan Inderagiri di Sumatera.

Melaka diceritakan mempunyai hubungan diplomatik dengan negara-negara luar.Walau bagaimanapun kehebatan Melaka sering ditonjolkan mengatasi negara-negara berkenaan dari pelbagai sudut. Sulalatus Salatin memperkecilkan dan memandang rendah martabat raja negeri-negeri lain. Diceritakan kisah Raja Pasai, Sultan Malikus-Salleh tertipu mengahwini anak gundik Raja Perlak aitu Puteri Ganggang. Raja Pasai pernah ditangkap Awi Dicu dan dibawa ke Siam untuk dijadikan gembala ayam.

Ratu Majapahit pula disindir kerana tiada putera pewaris takhta. Diceritakan Puteri Majapahit iaitu Raden Galoh Awi Kesuma berkahwin dengan anak angkat penyadap iaitu budak yang ditemui hanyut. Penyadap dilantik pula sebagai Bentara Majapahit.

Tidak ketinggalan, raja China turut diperkecil-kecilkan kedudukannya. Sulalatus Salatin menunjukkan kebijaksanaan utusan Melaka mengatasi pembesar-pembesar China, umpamanya Tun Perpatih Putih berjaya melihat wajah Maharaja China melalui tipu muslihat. Beliau memberitahu makanan kegemaran orang Melaka ialah sayur kangkung dimasak tanpa dipotong . Ketika waktu makan terpaksa mendongak kepala untuk disuapkan ke mulut. Ketika mendongak, dapatlah melihat wajah raja China, sedangkan rakyat China sendiri tidak pernah dapat melihat wajah raja mereka.

Sulalatus Salatin mencertitakan kisah raja China mendapat penyakit kedal kerana menerima kiriman sembah daripada Sultan Melaka. Untuk mengubati penyakit kedal itu, raja China terpaksa minurn air basuh kaki raja Melaka.

Kehebatan dan kebesaran Melaka turut digambarkan melalui kewibawaan pembesar-pembesar negeri seperti Bendahara, Temenggung dan Laksamana. Sulalatus Salatin menggambarkan tentang ketokohan dan kebijaksanaan Bendahara Paduka RajaTun Perak dan Bendahara Seri Maharaja. Mereka memiliki sifat kesetiaan tidak berbelah bagi kepada Raja Melaka.

Tun Perak tidak pun menuntut bela ke atas Raja Muhammad Shah yang telah membunuh anaknya Tun Besar kerana tidak mahu menderhaka. Tun Mutahir pula , kerana tidak mahu menderhaka, menerima sahaja hukuman bunuh yang dikenakan kepadanya dan ahli keluarganya oleh Sultan mahmud Syah, walaupun beliau tidak bersalah.

Pembesar Melaka digambarkan memiliki sifat keperwiraan dan semangat juang yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan Melaka. Mereka juga memliki sifat pintar dan bijaksana dalammelaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti yang tergambar pada utusan Melaka ke luar negeri. Misalnya Menteri Jana Putera dan TunTelanai. Keagungan dan kebesaran Melaka ditegakkan hasil sokongan padu serta kewibawaan para pembesar-pembesar.

Sulalatus Salatin tidak ketinggalan mengemukakan kisah keberanian panglima dan hulubalang Melaka seperti Laksamana Hang Tuah, Seri Bija Diraja dan Tun Bijaya Sura. Hulubalang Melaka begitu gagah perkasa, berani dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada raja Melaka.

Tun Perak sendiri mengetuai angkatan perang angkatan Melaka menghadapi ancaman Siam. beliau menggunakan kebijaksanaannya hingga berjaya mengusir angkatan Siam dengan menggunakan tipu helah. Tun Perak turut mengetuai angkatan Melaka menyerang Pahang.

Tidak ketinggalan digambarkan juga kehebatan pahlawan-pahlawan lain seperti Seri Bija Pikrama, Tun Bijaya Sura dan Seri Bija Diraja berjaya menakluki Pahang dan menangkap Maharaja Dewa Sura.