Monday, February 7, 2011

4.1 MELAKA MENERIMA AGAMA ISLAM


Melaka menerima Islam pada zaman pemerintahan Raja Kecil Besar. Nama Islamnya Sultan Muhammad Syah. Sulalatus Salatin menunjukkan raja Melaka memeluk Islam berbeza dengan rakyat jelata. Pengislman Raja Melaka dikaitkan dengan mitos. Raja Kecil Besar digambarkan menerima Islam secara langsung dari Rasulullah s.a.w melalui mimpi.

Diceritakan pada suatu malam Raja Kecil Besar bermimpi. Dalam mimpi baginda telah berpandangan dengan keelokan Rasulullah s.a.w.. Rasulullah s.a.w mengajar baginda mengucap dua kalimah syahadat.

Rasulullah s.a.w menitahkan baginda menukar nama kepada Sultan Muhammad Syah. Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa keesokan hari pada waktu Asar akan sampai sebuah kapal dari Jeddah dan orang-orang dari kapal itu akan bersembahyang di pantai Melaka. Rasulullah menitahkan baginda menurut kata-kata orang dari kapal itu. Raja Kecil Besar berjanji akan menurut segala kata-kata dan perintah Rasulullah. Kemudian Rasulullah pun ghaib dan baginda terjaga dari mimpi.

Keesokan harinya pada hari siang, baginda mendapati badan baginda berbau narawastu. "Kalam" baginda seperti sudah dikhatankan. Mulut baginda menyebut kalimah syahadat tiada berhenti-henti.

Kelakuan dan tingkah laku Raja Kecil Besar dianggap aneh. Raja Perempuan bimbang melihat perlakuan raja dan memberitahu Bendahara. Ketika Bendahara sampai, baginda masih menyebut "la ilaha i'l Allah, Muhammad-ar-rasulullah." (Sulalatus Salatin, hal 73).

Sultan menceritakan kepada Bendahara tentang mimpinya. Bagi membuktikan bahawa kata-kata baginda adalah benar, ditunjukkan alamat iaitu kalam baginda seperti dikhatankan orang. Baginda juga menyampaikan sabda Rasulullah akan kedatangan sebuah kapal dari Jeddah pada waktu Asar nanti.

Segala cerita mimpi raja itu didapati benar-benar berlaku. Pada waktu Asar, sebuah kapal dari Jeddah berlabuh di Melaka. Makhdum kapal itu bernama Syed Abdul Aziz. Mereka turun bersembahyang di pantai Melaka. Orang-orang Melaka hairan melihat kelakuan orang bersembahyang, "Mengapa orang itu tunggang-tunggik?" ( Sulalatus Salatin, hal 73)

Raja Kecil Besar berserta pembesar negeri datang ke pelabuhan menjemput Makhdum dan rombongan ke istana. Raja dan pembesar diislamkan. Mereka diajar bersembahyang oleh Makhdum.