Wednesday, February 9, 2011

HUBUNGAN DIPLOMATIK MELAKA

HUBUNGAN MELAKA Dl PERINGKAT ANTARABANGSA

Melaka menjalinkan hubungan diplomatik kerajaan degan kerajaan dengan Siam, Majapahit, India, dan China .

Hubungan dengan Kerajaan Siam

Melaka menghantar utusan ke Siam yang terdiri daripada Tun Telanai dan Menteri Tun Jana Putera. Hubungan Melaka dengan Siam dikatakan sepi, “tidak berkelahi dan tidak berdamai."

Melaka ingin bersahabat dan berbaik-baik dengan Siam lalu menghantar utusan sebagai suatu tanda menghulur persahabatan. Antara isi surat raja Melaka kepada raja Siam ialah:

"Surat ini hendakpun tiada dilawani, takut mudarat ke atas nyawa; sungguh di dalam dilawani, terlalu takut akan Paduka Bubunya. Daripada sangat harap akan ampun dan kurnia, maka menyuruhkan Tun Telanai dan Menteri Jana Putera." (Sulalatus Salatin, hlm 108)

Di Siam, utusan dan rombongan Melaka diterima dengan baik. Raja Siam bertanya makna "Mansur Syah". Utusan Melaka memberitahu makna Mansur Syah "raja yang ditolong Allah daripada segala seterunya."

Dipertontonkan kehebatan orang Melaka melalui pertunjukkan lembing. Seorang Suir tua, berpenyakit untut di kaki, bermain lembing, dilambung-lambung, ditahan belakang tetapi tidak luka sebaliknya lembing terpelanting ke tanah.

Rombongan Melaka membantu Siam dengan menentang musuh Siam. Rombongan Melaka berjaya meyakinkan Siam supaya mereka hanya akan menentang musuh yang lebih lebih lemah dan terselamat daripada menghadapi musuh yang lebih kuat dari arah matahari naik. Dengan kebijaksanaan itu, mereka berjaya mengalahkan musuh-musuh Siam. Siam menaruh kepercayaan dan keyakinan pada Melaka sebagai negeri yang kuat dan negeri besar yang setaraf dengan kebesaran Siam. Melaka berjaya dalam usahanya berbaik- baik dengan Siam. Langkah ini dapat menjamin keutuhan Melaka serta meningkatkan kedudukan Melaka setanding dengan kebesaran Siam. Tumpuan dapat diberikan kepada usaha-usaha membangunkan Melaka. Soal keselamatan dapat diatasi.

Hubungan Melaka dengan Majapahit

Kisah hubungan Melaka dengan Majapahit berupa cerita berunsur anakronisme. Melaka telah menghantar rombongan ke Majapahit kerana Sultan Mansur Syah jatuh berahi kepada Puteri Majapahit, Raden Galuh Cendera Kirana yang terkenal cantik. Dengan itu rombongan itu berhasrat meminang puteri Majapahit itu.

Rombongan Melaka terdiri daripada Sultan Mansur Syah, Tun Bijaya Sura, Hang Tuah bersama Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan dan Hang Hussin. Mereka menaiki 500 buah perahu besar, perahu-perahu kecil dan lancaran bertiang tiga dari Singapura.

Ketika di Majapahit, Tun Bijaya Sura dapat selamatkan 40 keris daripada dicuri orang Majapahit. Selain itu Tun Bijaya Sura telah menggertak anjing yang ditambat di hadapan raja Melaka hingga terputus tali tambatan lalulari ke hutan. Hang Jebat dan Hang Kasturi pula masuk ke taman larangan. Apabila mereka ditombaki oleh Jawa, mereka dapat mematahkan serangan. Ketika mengadap Betara Majapahit, Tun Bijaya Sura bermain sapu-sapu rengit. Kain disingsing ke lutut. Pemain berlenjur kaki di depan Betara yang bertujuan menghina Betara.

Tun Bijaya Sura diminta berpakaian cara Jawa.Ketika itulah kerisnya dicuri orang. Walau bagaimanapun beliau dapat menyendal keris Betara Majapahit. Apabila Betara menunjukkan keris Tun Bijaya Sura, Tun Bijaya Sura juga menunjukkan keris Betara.

Setelah menguji kekuatan Melaka, Majapahit mengakui keutuhan Melaka. Kekuatan dan kebijaksanaan hulubalang Melaka melambangkan kebesaran raja Melaka. Majapahit mengakui kekuatan Melaka. Setuju menerima raja Melaka sebagai menantu. Sultan Mansur Syah berjaya berkahwin dengan Raden Galuh Cendera Kirana. Hubungan diplomatik antara Melaka dengan Majapahit lebih kukuh kerana diasaskan kepada hubungan kekeluargaan.

Hubungan Melaka dengan China

Rombongan pertama dari Melaka ke China diketuai oleh Tun Perpatih Putih. Rombongan ke China kali pertama ini bertujuan untuk membalas bingkisan dan surat yang dihantar oleh raja China. Raja China telah menghantar "surat" dan bingkis berupa jarum sarat sebuah pilau yang memberi maksud akan kebesaran China dan rakyatnya ramai. Melaka membalas dengan membawa pilau yang sarat diisi sagu rendang.

Di China, Tun perpatih Putih memberitahu cara buat sagu. Setiap seorang rakyat Melaka menggentel sagu seorang sebiji. Jumlah sagu dlam pilau itu melambangkan jumlah rakyat Melaka. Tun Perpatih Putih memakai 10 bentuk cincin pada kesepuluh jari kiri dan kanan.

Sewaktu menghadap, pembesar-pembesar China menjeling pada jari beliau. Beliau akan memberi cincin itu pada pembesar China yang menjeling jarinya. Tun Perpatih Putih memberitahu makanan kegemaran orang Melaka islah sayur kangkung tidak dikerat-kerat. Ketika makan, rombongan Melaka terpaksa mendongak untuk menyuap kangkung yang tidak dikerat itu ke mulut. Muslihat ini bertujuan ingin lihat wajah Maharaja China dalam mongkor kaca.

Sebagai menghargai raja Melaka, Raja China menghantar Puteri Hang Liu untuk berkahwin dengan raja Melaka. Raja China bersetuju menghantar puterinya disebabkan niatnya supaya raja Melaka mengirim surat sembah ke China. Tun Perpatih Putih beri alasan Raja Melaka tidak dapat datang kerana Melaka berada dalam permusuhan. Hubungan Melaka-China terjalin lebih erat bukan sahaja hubungan diplomatik antara dua negara, juga hubungan keluarga. Selepas itu beras makanan raja China dikupas sama seperti beras makanan Raja Melaka yang juga dikupas, dan orang China jugagemar makan kangkung.

Melaka seterusnya menghantar rombongan ke China untuk kali kedua untuk menghantar surat sembah kepada raja China setelah raja Melaka menjadi menantu. Utusan kali ini diketuai oleh Menteri Jana Putera dan Tun Telanai. Ketika belayar ke China, kapal angkatan Melaka terbias ke Brunei . Raja Brunei bertanya sama ada raja Melaka mengirim sembah ke China. Rombongan Melaka membuat alasan rakyat yang mengirim sembah bukan bukannya raja Melaka. Raja Brunei mengutuskan surat kepada Raja Melaka. Surat Raja Brunei akan di ke Melaka semasa rombongan itu kembali dari China.

Raja China yang menerima sembah daripada Raja Melaka mendapat penyakit kedal diseluruh badan. Seluruh tabib China tidak dapat mengatasi masalah itu. Seorang tabib mencadangkan supaya Raja China minum air basuh kaki raja Melaka untuk mengubati penyakit kedal itu. China menghantar utusan ke Melaka untuk mendapatkan air basuh kaki Sultan Mansur Syah. Air kaki Sultan mansur Syah itu diminum dan digunakan untuk membasuh badan raja China. Raja China kemudiannya sembuh lalu berikrar tidak akan menerima lagi sembah daripada raja Melaka.

Peristiwa ini memberi gambaran bahawa raja Melaka mempunyai daulat dan kebesaran yang mengatasi kebesaran raja China.

Hubungan Melaka dengan Benua Keling

Hubungan Melaka dengan benua Keling berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Kali ini Hang dilantik Nadim menjadi utusan. Beliau memiliki kepakaran tulis menulis dan melukis corak. Hang Nadim dihantar ke benua Keling atas urusan perniagaan serta membeli kain serasah sebanyak 40 helai. Setiap helai mempunyai 40 perkara.

Di Benua Keling Hang Nadim tidak berkenaan dengan corak kain yang dilukis oleh pelukis-pelukis Keling. Hang Nadim akhirnya melukis sendiri corak kain itu seperti yang dikehendaki oleh raja Melaka. Kemudian pelukis-pelukis Keling meniru corak yang ditunjukkan Hang Nadim. Untuk pulang ke Malaka, Hang Nadim menumpang kapal Hang Isap walaupun sebelum itu seorang sayid bersumpah bahawa kapal Hang Isap akan ditimpa bencana ketika pulang berikutan Hang Isap tidak menjelaskan hutangnya kepada sayid itu. Hang Isap mengaku telah melunaskan segala hutangnya tetapi Saiyid itu tetap bertegas bahawa Hang Isap masih berhutang. Di pertengahan pelayaran kapal Hang Isap telah karam. Kain-kain serasah yang dipesan hanya 4 helai sahaja dapat diselamatkan. Berikutan hal itu, Hang Nadim dimurkai raja Melaka.

5.0 KEMEGAHAN DAN KEHEBATAN MELAKA


Dalam Sulalatus Sulalatus Salatin kebesaran raja yang memerintah digambarkan melalui perkaitan keturunan raja dengan legenda Iskandar Zul-karnain. Unsur mitos juga dimasukkan bagi mengesahkan dan mengukuhkan martabat raja-raja Malayu.

Pembukaan negeri Melaka turut dikaitkan dengan mitos dan peristiwa luar biasa. Umpamanya kegagahan pelanduk yang menentang anjing perburuan. Kehebatan Melaka juga tergambar melalui mitos kemasukan Islam.

Kehebatan Melaka juga digambarkan melalui adat-istiadat raja-raja Melaka serta langan-larangan terhadap rakyat..

Turut digambarkan ialah keluasan empayar dan jajahan takluk yang luas meliputi Pahang, Terengganu, Siak dan Inderagiri di Sumatera.

Melaka diceritakan mempunyai hubungan diplomatik dengan negara-negara luar.Walau bagaimanapun kehebatan Melaka sering ditonjolkan mengatasi negara-negara berkenaan dari pelbagai sudut. Sulalatus Salatin memperkecilkan dan memandang rendah martabat raja negeri-negeri lain. Diceritakan kisah Raja Pasai, Sultan Malikus-Salleh tertipu mengahwini anak gundik Raja Perlak aitu Puteri Ganggang. Raja Pasai pernah ditangkap Awi Dicu dan dibawa ke Siam untuk dijadikan gembala ayam.

Ratu Majapahit pula disindir kerana tiada putera pewaris takhta. Diceritakan Puteri Majapahit iaitu Raden Galoh Awi Kesuma berkahwin dengan anak angkat penyadap iaitu budak yang ditemui hanyut. Penyadap dilantik pula sebagai Bentara Majapahit.

Tidak ketinggalan, raja China turut diperkecil-kecilkan kedudukannya. Sulalatus Salatin menunjukkan kebijaksanaan utusan Melaka mengatasi pembesar-pembesar China, umpamanya Tun Perpatih Putih berjaya melihat wajah Maharaja China melalui tipu muslihat. Beliau memberitahu makanan kegemaran orang Melaka ialah sayur kangkung dimasak tanpa dipotong . Ketika waktu makan terpaksa mendongak kepala untuk disuapkan ke mulut. Ketika mendongak, dapatlah melihat wajah raja China, sedangkan rakyat China sendiri tidak pernah dapat melihat wajah raja mereka.

Sulalatus Salatin mencertitakan kisah raja China mendapat penyakit kedal kerana menerima kiriman sembah daripada Sultan Melaka. Untuk mengubati penyakit kedal itu, raja China terpaksa minurn air basuh kaki raja Melaka.

Kehebatan dan kebesaran Melaka turut digambarkan melalui kewibawaan pembesar-pembesar negeri seperti Bendahara, Temenggung dan Laksamana. Sulalatus Salatin menggambarkan tentang ketokohan dan kebijaksanaan Bendahara Paduka RajaTun Perak dan Bendahara Seri Maharaja. Mereka memiliki sifat kesetiaan tidak berbelah bagi kepada Raja Melaka.

Tun Perak tidak pun menuntut bela ke atas Raja Muhammad Shah yang telah membunuh anaknya Tun Besar kerana tidak mahu menderhaka. Tun Mutahir pula , kerana tidak mahu menderhaka, menerima sahaja hukuman bunuh yang dikenakan kepadanya dan ahli keluarganya oleh Sultan mahmud Syah, walaupun beliau tidak bersalah.

Pembesar Melaka digambarkan memiliki sifat keperwiraan dan semangat juang yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan Melaka. Mereka juga memliki sifat pintar dan bijaksana dalammelaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti yang tergambar pada utusan Melaka ke luar negeri. Misalnya Menteri Jana Putera dan TunTelanai. Keagungan dan kebesaran Melaka ditegakkan hasil sokongan padu serta kewibawaan para pembesar-pembesar.

Sulalatus Salatin tidak ketinggalan mengemukakan kisah keberanian panglima dan hulubalang Melaka seperti Laksamana Hang Tuah, Seri Bija Diraja dan Tun Bijaya Sura. Hulubalang Melaka begitu gagah perkasa, berani dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada raja Melaka.

Tun Perak sendiri mengetuai angkatan perang angkatan Melaka menghadapi ancaman Siam. beliau menggunakan kebijaksanaannya hingga berjaya mengusir angkatan Siam dengan menggunakan tipu helah. Tun Perak turut mengetuai angkatan Melaka menyerang Pahang.

Tidak ketinggalan digambarkan juga kehebatan pahlawan-pahlawan lain seperti Seri Bija Pikrama, Tun Bijaya Sura dan Seri Bija Diraja berjaya menakluki Pahang dan menangkap Maharaja Dewa Sura.

Monday, February 7, 2011

4.1 MELAKA MENERIMA AGAMA ISLAM


Melaka menerima Islam pada zaman pemerintahan Raja Kecil Besar. Nama Islamnya Sultan Muhammad Syah. Sulalatus Salatin menunjukkan raja Melaka memeluk Islam berbeza dengan rakyat jelata. Pengislman Raja Melaka dikaitkan dengan mitos. Raja Kecil Besar digambarkan menerima Islam secara langsung dari Rasulullah s.a.w melalui mimpi.

Diceritakan pada suatu malam Raja Kecil Besar bermimpi. Dalam mimpi baginda telah berpandangan dengan keelokan Rasulullah s.a.w.. Rasulullah s.a.w mengajar baginda mengucap dua kalimah syahadat.

Rasulullah s.a.w menitahkan baginda menukar nama kepada Sultan Muhammad Syah. Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa keesokan hari pada waktu Asar akan sampai sebuah kapal dari Jeddah dan orang-orang dari kapal itu akan bersembahyang di pantai Melaka. Rasulullah menitahkan baginda menurut kata-kata orang dari kapal itu. Raja Kecil Besar berjanji akan menurut segala kata-kata dan perintah Rasulullah. Kemudian Rasulullah pun ghaib dan baginda terjaga dari mimpi.

Keesokan harinya pada hari siang, baginda mendapati badan baginda berbau narawastu. "Kalam" baginda seperti sudah dikhatankan. Mulut baginda menyebut kalimah syahadat tiada berhenti-henti.

Kelakuan dan tingkah laku Raja Kecil Besar dianggap aneh. Raja Perempuan bimbang melihat perlakuan raja dan memberitahu Bendahara. Ketika Bendahara sampai, baginda masih menyebut "la ilaha i'l Allah, Muhammad-ar-rasulullah." (Sulalatus Salatin, hal 73).

Sultan menceritakan kepada Bendahara tentang mimpinya. Bagi membuktikan bahawa kata-kata baginda adalah benar, ditunjukkan alamat iaitu kalam baginda seperti dikhatankan orang. Baginda juga menyampaikan sabda Rasulullah akan kedatangan sebuah kapal dari Jeddah pada waktu Asar nanti.

Segala cerita mimpi raja itu didapati benar-benar berlaku. Pada waktu Asar, sebuah kapal dari Jeddah berlabuh di Melaka. Makhdum kapal itu bernama Syed Abdul Aziz. Mereka turun bersembahyang di pantai Melaka. Orang-orang Melaka hairan melihat kelakuan orang bersembahyang, "Mengapa orang itu tunggang-tunggik?" ( Sulalatus Salatin, hal 73)

Raja Kecil Besar berserta pembesar negeri datang ke pelabuhan menjemput Makhdum dan rombongan ke istana. Raja dan pembesar diislamkan. Mereka diajar bersembahyang oleh Makhdum.

4 UNSUR-UNSUR ISLAM DALAM SULALATUS SALATIN

Penceritaan mengenai kemasukan Islam ke Pasai dan Melaka telah dimitoskan dengan tujuan untuk mengagungkan Islam dan menunjukkan keistimewaan raja itu sendiri. Penceritaannya memberi gambaran bahawa Islam benar-benar berkembang di Melaka, bermula dari istana Melaka dan terus berkembang di kalangan rakyat jelata. Raja Melaka pertama beragama Islam ialah Raja Kecil Besar atau Sultan Muhammad Syah. Gelaran Sultan diguna pakai setelah Raja Melaka memeluk Islam.

Unsur Islam juga dapat dilihat daripada penyebutan dan penonjolkan tokoh-tokoh dan lama-ulama Islam.

Antaranya Iskandar Zul-Karnian, yang merupakan tokoh pahlawan Islam yang terkenal gagah dan berani dalam menaikkan martabat Islam di dunia. Tokoh ini dikaitkan dengan asal usul keturunan raja Melaka yang bertujuan untuk menunjukkan keagungan raja-raja Melaka.

Tokoh-tokoh lain yang disebut seperti tokoh pahlawan Islam yang terkenal Amir Hamzah, tokoh-tokoh nabi seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Khidir. Sulalatus Salatin menceritakan pernikahan Raja Iskandar Zul-Karnain dengan Puteri Syahrul-Bariyah disempurnakan oleh Nabi Khidir. Mas kahwinnya sebanyak 300 ribu dinar emas (Cetera 1).

Tokoh-tokoh pendakwah Islam, iaitu ulama-ulama Islam dari Asia Barat (TimurTengah) datang ke Melaka bertujuan mengembangkan agama Islam dan mengajar ilmu Islam berpusat di istana Melaka. Tokoh-tokoh tersebut seperti Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Kadi Yusuf, dan Maulana Sadar Jahan.Tokoh-tokoh ini diberi penghormatan dan pengiktirafan tinggi di istana Melaka. Mereka sangat berpengaruh terutama dalam soal-soal berkaitan dengan hal-ehwal keagamaan.

Unsur Islam dalam Sulalatus Salatin juga terlihat dalam perjalanan adat-lstiadat dan perundangan yang diamalkan kerajaan Melaka. la meliputi hal-hal seperti upacara akad nikah kahwin, dan perayaan-perayaan hari kebesaran Islam seperti menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raja Korban. Selain gambaran Islam juga dapat dilihat melalui adat berkhatan.


Menjadi suatu amalan kepada raja-raja Melaka yang mangkat meninggalkan wasiat kepada pembesar negeri dan putera mahkota. Misalnya wasiat kepada Raja Ahmad (timang-timangan Raja Hussain) (Sulalatus Salatin, hlm. 171-172) dan wasia`t Sultan Alau'd-Din Riayat Syah kepada Sultan Mahmud (Raja Mamad) (Sulalatus Salatin, hlm.186-187). Melalui wasiat, banyak didapati unsur pengajaran dan nasihat yang bersumberkan al-Quran dan hadis.

Unsur Islalm dalam Sulalatus Salatin juga ketara melalui penyebutan tentang kewujudan karya-karya Kesusasteraan Islam di Melaka contohnya Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikyat Amir Hamzah. Hikayat-hikayat ini dibaca oleh panglima-panglima Melaka untuk menaikkan semangat keperwiraan menentang musuh seperti Peringgi. (Sulalatus Salatin, hlm. 268-269)

Penceritaan dalam Sulalatus Salatin diselitkan dengan puisi Arab iaitu syair. Pengggunaan puisi atau bidalan Arab ini dalam menjelaskan sesuatu gambaran berkesan memberi nilai estetika pada teks tersebut. Lebih jelas menunjukkan keupayaan orang-orang Melaka menguasai seni sastera ini dalam penulisan karya agung itu. Perkara ini jelas dipaparkan dalam peristiwa Sultan Mahmud yang melihat kecantikan Tun Fatimah. Sulalatus Salatin menceritakan hal tersebut melalui syair Arab;

                 Ma yarji'u al-taffu 'ainnahu 'inda ru'yatihi, Hatta yu' ada i-laiya al-taffa musytaqu,

yakni tiada akan berkelip kelopak mata tatkala melihat dia, hingga berkelip kepadanya kelopak mata, makin bertambah dendam juga, adanya. (Sulalatus Salatin, hlm 251 )

Sulalatus Salatin juga menyentuh tentang corak pendidikan dan perkembangan ilmu keislaman. Istana igambarkan sebagai pusat pengajian ilmu-ilmu Islam. Pasai dikatakan menjadi sebagai pusat bermuzakarah mengenai ilmu fiqah mengikut mazhab Shafie. Istana dijadikan pusat pengajaran Islam dengan sultan dan pembesar turut belajar dan menuntut ilmu.

Ulama-ulama, guru-guru agama dan pendakwah berkumpul di istana. Contohnya, Maulana Sadar Jahan dari Jeddah mengajar di Melaka. Maulana Yusuf mengajar tasawuf. Sultan Mahmud turut belajar ilmu agama.

Kitab-kitab agama seperti Kitab Duri'l-Mazlum dibawa ke Melaka oleh Maulana Abu Bakar dan diajar di istana Melaka. Sultan Mansur Syah turut belajar kitab ini. Diceritakan juga tentang utusan dari Melaka ke Pasai untuk menyelesaikan masalah-masalah berkait ilmu Islam kerana di Pasai ramai ulama-ulama berkumpul bermuzakarah tentang ilmu-ilmu keislaman.

Unsur Islam dalam Sulalatus Salatin juga tergambar melalui teknik penulisannya. Mukadimah Sulalatus Salatin dimulai dengan Bismillahir-rahmanir-rahim...

Dalam mukadimah disertakan ayat-ayat al-Quran dan diikuti pula dengan terjemahan dalam bahasa Melayu. Struktur penulisan seperti ini adalah teknik yang biasa dalam karya-karya Arab-Parsi. Pada tiap-tiap akhir cetera, pengarang menutupnya dengan ayat "Wa'llahu a'lamu bi's-sawab, wa illaihi 'Imarji'u wa 'l-ma'ab." .Hanya pada akhir cetera ke XV sahaja diakhiri dengan ayat " Wa'llahu a'lam."

Terdapat juga struktur penulisan menggunakan gaya khutbah. Ini jelas ketika memberi nasihat yang meleret-leret dalam wasiat. Selain itu kalimat-kalimat Arab-Parsi digunakan dalam ayat antaranya Syahbandar, alam, bahari, sahibul hikayat dan Iain-Iain.